Strategi Pengajaran dan Pembelajaran



PENDEKATAN BERPUSATKAN MURID

Strategi pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia haruslah berpusatkan murid bagi membolehkan mereka berinteraksi dan menguasai kemahiran belajar melalui pengalaman sendiri. Oleh itu, murid dapat membina keyakinan berbahasa.


KEPELBAGAIAN TEKNIK

Proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah menggalakkan penggunaan pelbagai kaedah mengajar. Guru boleh memilih pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar serta teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan murid berkomunikasi dan berinteraksi serta berfikir secara kritis, kreatif, dan inovatif.

KEPELBAGAIAN SUMBER BAHAN

Penggunaan pusat sumber dan komputer amatlah digalakkan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia. Bahan-bahan sumber seperti akhbar, majalah, buku rujukan, kamus, Internet, serta bahan sastera dan bahan berunsur ilmu hendaklah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran, dan juga untuk bacaan ekstensif.

PENGGUNAAN SISTEM BAHASA

Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah menekankan penggunaan sistem bahasa yang tepat mengikut kemampuan murid. Bagi mencapai tujuan tersebut, guru perlu merancang dan memilih sistem bahasa yang hendak diajarkan berserta contoh penggunaannya dalam pelbagai konteks dan kegiatan bahasa yang bermakna sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

BACAAN LUAS

Bacaan luas memberikan peluang kepada murid menimba pengetahuan dan membentuk sahsiah yang baik bagi meningkatkan gaya berfikir dan minat ingin terus membaca. Bacaan luas boleh dijalankan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan bahan-bahan ilmiah dan sastera yang dipaparkan secara kreatif.

PENEKANAN KONSEP 5P

Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia menekankan konsep penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan penilaian. Hal ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Strategi pengajaran dan pembelajaran tersebut adalah seperti yang berikut:

Penggabungjalinan

Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran dapat digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam hasil pembelajaran atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

Penyerapan

Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia, unsur ilmu, nilai murni dan kemahiran bernilai tambah boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dan disiplin daripada mata-mata pelajaran lain.


Penilaian

Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan sesuatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Penilaian perlulah dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses penilaian berterusan, segala kelemahan dapat dikenal pasti dan jenis tindakan susulan dapat diambil terhadap seseorang murid sama ada berbentuk pemulihan atau pengayaan.

Pengayaan

Program pengayaan perlu diberikan penekanan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid hendaklah diberikan bahan yang berbeza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad, permainan dan bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

Pemulihan

Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERTEMA

Pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia diajarkan berdasarkan tema. Melalui pengajaran dan pembelajaran bertema kemahiran bahasa, pembelajaran tatabahasa dan pengembangan kosa kata dapat disepadukan dan dikukuhkan. Di samping itu, ilmu daripada mata pelajaran dan disiplin lain lebih mudah diserapkan. Bagi tujuan ini, perancangan dan penentuan tema pengajaran meliputi pelbagai bidang ilmu, hal persendirian dan isu kemasyarakatan, menghargai warisan, mencungkil daya kreativiti dan inovasi dalam diri murid serta isu-isu semasa. Cakupan tema yang ditekankan adalah seperti yang berikut:

Kekeluargaan

Tema kekeluargaan merangkumi hubungan sesuatu keluarga yang melibatkan keluarga asas dan keluarga kembangan. Tema ini diajarkan kepada murid-murid sekolah rendah agar menghargai setiap ahli keluarga.

Kemasyarakatan

Tema ini merujuk tanggungjawab individu dan kumpulan dalam kalangan pelbagai bangsa untuk mewujudkan keharmonian dan kepentingan hidup bersama. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid sekolah rendah agar dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab.

Kesihatan dan Kebersihan

Tema kesihatan dan kebersihan merujuk kesempurnaan dari segi kesihatan fizikal, mental dan sosial. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid sekolah rendah agar mendapat pendedahan awal berkaitan penjagaan kebersihan dan kesihatan, serta amalan gaya hidup sihat.


Keselamatan

Tema keselamatan merujuk keupayaan murid melindungi diri daripada bahaya ketika berada dalam pelbagai persekitaran. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid supaya dapat memberi kesedaran kepada mereka agar mengutamakan keselamatan.

Perpaduan

Tema perpaduan merujuk kepentingan hubungan erat yang berbentuk toleransi dalam kalangan penduduk Malaysia. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid dalam usaha memupuk semangat perpaduan.

Kebudayaan, Kesenian dan Estetika

Tema kebudayaan, kesenian dan estetika merangkumi
elemen-elemen budaya yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang meliputi adat dan budaya. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid agar kehalusan seni budaya ini dapat dihayati oleh murid sebagai asas pembentukan jati diri warga Malaysia.

Jati diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan

Tema jati diri, patriotisme dan kewarganegaraan merujuk keupayaan murid menzahirkan keperibadian insan yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani serta mempunyai semangat juang dan sanggup berkorban demi negara. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid untuk melahirkan masyarakat madani yang mempunyai semangat kekitaan dan setia kepada negara.

Sains, Teknologi dan Inovasi

Tema sains, teknologi dan inovasi merujuk ilmu pengetahuan yang teratur atau sistematik yang boleh diuji, dibuktikan kebenarannya dan dapat menghasilkan sesuatu yang baharu. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid agar dapat melahirkan insan yang berupaya menjana idea untuk menghasilkan sesuatu yang berinovasi.

Alam Sekitar dan Teknologi Hijau

Tema alam sekitar dan teknologi hijau merujuk keupayaan murid menjaga dan menguruskan alam sekitar untuk kesejahteraan kehidupan manusia, haiwan serta tumbuhan bagi kelangsungan kehidupan generasi akan datang. Tema ini sesuai diajarkan agar murid cinta dan prihatin akan alam sekitar dan teknologi hijau.

Pertanian

Tema pertanian mendedahkan murid perihal asas-asas pertanian secara tradisional dan moden. Tema ini sesuai diajarkan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan bidang pertanian dan bioteknologi pertanian dalam kehidupan.

Ekonomi

Tema ekonomi mendedahkan murid perihal bidang peniagaan dan keusahawanan dalam menjana pendapatan dan pengurusan perdagangan. Tema ini sesuai diajarkan untuk memupuk kepentingan bidang ekonomi dan kerjaya dalam kehidupan.