Thursday, 1 December 2011

Pendahuluan

Perkembangan semasa dalam arus globalisasi yang sangat dinamik, menuntut perubahan dalam dunia pendidikan. Seiringan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil inisiatif menyemak dan melakukan penambahbaikan dalam kurikulum.

Selaras dengan perubahan tersebut, kurikulum Bahasa Malaysia turut melalui proses semakan dan penambahbaikan dalam penggubalannya hingga terhasil Standard Kurikulum Bahasa Malaysia. Standard yang diketengahkan ini mengandungi Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. Standard ini merupakan pernyataan yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai murni yang mesti dipelajari dan dikuasai oleh murid di sekolah jenis kebangsaan.

Penggubalan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia berpaksikan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Standard ini menjunjung peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan negara, dan bahasa ilmu. Standard ini turut menitikberatkan penggabungjalinan kemahiran bahasa, penyerapan ilmu dan nilai murni. Standard Kurikulum Bahasa Malaysia boleh dijadikan pemangkin untuk memahami akal budi, pemikiran dan sosiobudaya penuturnya ke arah melahirkan semangat cinta akan bahasa dan tanah air yang dikongsi bersama dalam satu wawasan demi memartabatkan bahasa Melayu.

Pada asasnya, pembinaan kerangka Standard ini berdasarkan prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Standard ini mengetengahkan pendekatan berbentuk modular dan pembelajaran secara didik hibur bagi mencungkil potensi murid untuk meneroka pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Seterusnya, membolehkan murid memperkembangkan keupayaan dan penguasaan kemahiran bahasa, serta berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dan bertatasusila dalam semua urusan.

Bagi sekolah jenis kebangsaan, penggubalan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia mengambil kira proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia yang menggunakan pendekatan bahasa kedua kepada murid untuk memperoleh kemahiran bahasa yang ditentukan dalam Standard Kurikulum Bahasa Malaysia. Standard ini juga menekankan kepelbagaian minat dan kecerdasan yang berbeza dalam kalangan murid.

Selain itu, aktiviti kokurikulum di luar bilik darjah turut dijadikan landasan bagi membina keyakinan diri, mengetengahkan bakat, memupuk sifat kepemimpinan, dan ketokohan murid dalam pelbagai bidang. Aktiviti kokurikulum juga berupaya memantapkan penguasaan berbahasa murid serta menyokong pelaksanaan Standard Kurikulum Bahasa Malaysia.

0 comments:

Post a Comment