Elemen dalam pengisian kurikulum ialah ilmu, nilai murni, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah. Penerangan ringkas bagi setiap elemen seperti yang berikut:
ILMU
Ilmu merangkumi pelbagai bidang ilmu dan disiplin, contohnya ilmu dalam bidang sains, dan geografi dapat digunakan untuk memperkembangkan ilmu bahasa dan kemahiran bahasa. Ilmu lain yang berkaitan dengan hal-hal semasa juga boleh dipertimbangkan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
NILAI MURNI
Penyerapan nilai murni dalam kurikulum Bahasa Malaysia bertujuan melahirkan insan yang berketerampilan dan memiliki akhlak yang mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan murni dapat membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berkeperibadian luhur. Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni dalam masyarakat Malaysia harus dipupuk secara langsung atau tidak langsung selaras dengan nilai-nilai sejagat.
KEWARGANEGARAAN
Penyerapan unsur patriotisme dan kewarganegaraan dalam pendidikan bahasa Malaysia mengutamakan pemupukan semangat cinta dan taat akan negara. Di samping itu, pemupukan unsur ini bertujuan untuk melahirkan warganegara yang mempunyai jati diri, cinta akan bahasa dan bangsa serta meningkatkan komitmen individu terhadap negara.
PERATURAN SOSIOBUDAYA
Peraturan sosiobudaya dalam Kurikulum Bahasa Malaysia merangkumi kesantunan bahasa, laras bahasa dan peribahasa yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Peraturan sosiobudaya ini mencerminkan falsafah dan keperibadian masyarakat Malaysia.
KEMAHIRAN BERNILAI TAMBAH
Kemahiran bernilai tambah ialah kemahiran yang diajarkan di dalam bilik darjah dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan harian murid. Kemahiran bernilai tambah yang dimaksudkan ialah Kemahiran Berfikir, Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kemahiran Belajar Cara Belajar, Kajian Masa Depan, Kecerdasan Pelbagai, Pembelajaran Konstruktivisme, Pembelajaran Kontekstual, dan kreativiti dan inovasi. Penerangan ringkas tentang kemahiran bernilai tambah dinyatakan seperti yang berikut:
a) Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir diajarkan kepada murid melalui pelbagai aktiviti yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran berfikir sama ada
dari segi mengkonsepsikan idea, menyelesaikan masalah, atau membuat keputusan adalah penting dalam kehidupan harian dan kerjaya murid pada masa depan.
b) Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi perlu diajarkan kepada murid supaya mereka dapat
menggunakan komputer untuk tujuan komunikasi seperti mengaplikasikan perisian, menghantar dan
menerima e-mel, mengakses, memproses, menyebar dan berkongsi maklumat serta berinteraksi sosial melalui Internet untuk meluaskan penerokaan ilmu pengetahuan dalam urusan kehidupan.
c) Kemahiran Belajar Cara Belajar
Kemahiran belajar cara belajar perlu diajarkan kepada murid supaya mereka peka terhadap teknik
pembelajaran yang berkesan. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid meningkatkan
pengetahuan, cekap bertindak untuk menghadapi dunia yang sering berubah, dan berkeupayaan
mengamalkan pembelajaran seumur hidup.
d) Kajian Masa Depan
Kajian masa depan ialah satu pendekatan pengajaran untuk mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu perkara atau isu yang berlaku pada masa lampau, masa kini, dan masa depan. Hal ini bermakna, murid dapat membuat ramalan, menjangka akibat, serta menangani perubahan supaya mereka mendapat manfaat yang maksimum.
e) Kecerdasan Pelbagai
Kecerdasan pelbagai dapat mengembangkan potensi kecerdasan, minat dan kecenderungan murid kerana setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang berbeza. Kecerdasan pelbagai merangkumi kecerdasan verbal linguistik, logik matematik, muzik, kinestetik, visual ruang, interpersonal, intrapersonal dan naturalis.
f) Pembelajaran Konstruktivisme
Pembelajaran konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang berkeupayaan untuk membina pemahaman dan pengetahuan baharu mereka sendiri berdasarkan pengalaman sedia ada. Pembelajaran ini menjadikan murid lebih faham, yakin, dan seronok belajar sepanjang hayat mereka.
g) Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan baharu secara bermakna dan menghayati kerelevanan pembelajaran dalam kehidupan mereka.
h) Kreativiti dan Inovasi
Kreativiti merujuk kepada kebolehan atau kemampuan individu untuk mencipta, menyelesaikan masalah, serta menggunakan daya imaginasi, idea kreatif yang tulen dan baharu bagi menghasilkan sesuatu yang objektif. Inovasi pula merujuk kepada proses menjana idea dan mengaplikasikan idea kreatif dalam konteks tertentu. Kreativiti dan inovatif saling berkait rapat bagi menghasilkan modal insan yang serba boleh dan berketerampilan. Daya kreativiti dan inovasi murid perlu dibangunkan ke tahap yang optimun supaya mereka berdaya cipta dan berkeupayaan menghasilkan idea dan ciptaan yang berkualiti dan seterusnya menjadi amalan dan budaya dalam kehidupan warga negara Melaysia pada masa hadapan.
i) Keusahawanan
Penyerapan elemen keusahawanan dalam kurikulum standard sekolah rendah bertujuan membentuk ciri- ciri dan amalan keusahawanan sehingga menjadi satu budaya dalam kalangan murid melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penyerapan elemen ini bukan sahaja merupakan pendekatan membudayakan keusahawanan, malah melibatkan proses pembentukan sikap yang perlu dimiliki oleh usahawan seperti pemikiran keusahawanan, kemahiran, pengurusan perniagaan, aplikasi vokasional dan teknologi serta amalan nilai moral dan etika keusahawanan.