Aspek tatabahasa merujuk keupayaan murid menggunakan tatabahasa dengan betul dan tepat dalam konteks yang diajarkan secara terancang.
SISTEM BAHASA
Sistem bahasa terdiri daripada tatabahasa, sistem ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa. Pelaksanaan sistem bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia membolehkan murid menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu baku. Penerangan bagi perkara tersebut dinyatakan di bawah.
TATABAHASA
Kandungan tatabahasa terdiri daripada morfologi dan sintaksis.
Morfologi
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Struktur kata ialah susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah unit tatabahasa sama ada bentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Golongan kata pula ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota yang lain dalam golongan yang sama.
a) Struktur kata merujuk pola suku kata bagi:
i. Kata asli bahasa Melayu
ii. Kata pinjaman bahasa Melayu
b) Bentuk kata terdiri daripada:
i. Kata tunggal
ii. Kata terbitan
iii. Kata ganda
iv. Kata majmuk
c) Proses pembentukan kata meliputi:
i. Pengimbuhan
ii. Penggandaan
iii. Pemajmukan
Antara ketiga-tiga proses pembentukan kata ini, yang amat kompleks ialah pengimbuhan. Oleh itu, penekanan hendaklah diberikan pada aspek penggunaan imbuhan yang betul dari segi bentuk dan makna termasuk aspek baharu dalam proses pengimbuhan.
d) Golongan kata terdiri daripada:
i. Kata nama
ii. Kata kerja
iii. Kata adjektif
iv. Kata tugas
Sintaksis
Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan ayat. Hal ini bermakna, bidang sintaksis ialah kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat. Aspek sintaksis yang diberikan tumpuan adalah seperti yang berikut:
a) Unsur utama yang terdiri daripada kata, frasa, klausa, dan aspek pembinaannya serta pembahagian
subjek dan predikat.
subjek dan predikat.
b) Jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan
c) Ragam ayat, iaitu ayat aktif dan ayat pasif
d) Susunan ayat, iaitu susunan biasa dan songsang
e) Binaan ayat;
i. Ayat dasar
ii. Ayat tunggal
iii. Ayat terbitan atau ayat majmuk
f) Proses ayat terbitan:
i. Proses penggantian
ii. Proses pengguguran
iii. Proses penyusunan semula
iv. Proses peluasan.
TANDA BACA
Tanda baca penting dikuasai dalam komunikasi tulisan untuk memastikan keselarasan dan juga makna yang tepat. Misalnya, koma dan tanda noktah mewakili hentian dalam pertuturan. Penggunaan tanda baca yang betul dapat mewakili intonasi dalam bacaan dan penulisan.
SISTEM EJAAN
Perkara yang diberikan penekanan ialah;
i. Pola keselarasan huruf vokal
ii. Ejaan kata pinjaman
iii. Ejaan kata dasar dan kata terbitan
SEBUTAN DAN INTONASI
Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut perkataan dan ayat dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran yang ditekankan ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi supaya murid dapat menyampaikan maksud dengan tepat.
Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut perkataan dan ayat dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran yang ditekankan ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi supaya murid dapat menyampaikan maksud dengan tepat.
a) Sebutan
Sebutan diajarkan supaya murid dapat menyebut sesuatu kata dengan betul. Sebutan bahasa
Malaysia yang diajar di sekolah hendaklah menggunakan sebutan bahasa Melayu baku.
Malaysia yang diajar di sekolah hendaklah menggunakan sebutan bahasa Melayu baku.
b) Intonasi
Intonasi ayat bahasa Melayu yang betul hendaklah diajarkan mengikut pola yang berikut:
i. ayat penyata
ii. ayat tanya
iii. ayat perintah
iv. ayat seruan
v. ayat terbalik atau songsang
vi. ayat aktif
vii. ayat pasif
KOSA KATA
Kosa kata terdiri daripada kata umum dan istilah. Penguasaan kosa kata perlu dipertingkat dan diperkembangkan agar murid dapat mengungkapkan maklumat dan buah fikiran selaras dengan penambahan ilmu dalam mata-mata pelajaran yang dipelajari pada peringkat sekolah rendah.
PERIBAHASA
Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan dan kata-kata hikmat perlu diajarkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pemilihan peribahasa hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Nota:
- Buku Tatabahasa Dewan edisi terkini ialah buku tatabahasa yang menjadi sumber rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran.
- Buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Melayu edisi terkini ialah buku panduan ejaan yang menjadi rujukan dalam pengajaran dan pembelajaran.